Wednesday, July 29, 2009

Ulama' Ini Yang Merosakkan Islam

Ujudnya manusia yang bernama Nik Aziz ditengah-tengah kancah politik negara telah banyak menyusahkan masyarakat Islam seluruh Malaysia. Dahulu, dengan kedudukannya sebagai seorang Guru Agama beliau amat dihormati rakyat di Kelantan dan Melayu Malaysia amnya. Namun kepenglibatannya di dalam arena politik telah membawa satu padah yang amat dahsyat kepada umat Islam negara ini. Beliau yang sebenarnya diracuni angan-angan dan impian tinggi untuk menjadi pemimpin nombor satu Malaysia telah melupai hukum hakam agama dan melangkaui adab sopan dengan tingkah laku seperti seorang yahudi yang membenci Islam. Adab sopannya sebagai seorang Melayu telah lenyap begitu juga dengan pekerti Islam yang selama ini dibanggakan.

Setelah diagung-agungkan oleh pengikutnya sebagai seorang Guru Agama, maka Nik Aziz tidak melepaskan peluang itu. Maka apa saja yang dikatakan akan dituruti dan diiakan oleh pengikutnya. Maka dari situ muncullah petualang bangsa yang mengambil kesempatan dengan menjadi pengikut Nik Aziz. Semua ini dengan niat dapat mengejar kekayaan dunia dalam penyamaran diri sebagai seorang yang benar-benar Islam. Maka Parti PAS menjadi batu loncatan mereka.

Pernahkah anda semua melihat dari dekat siapa pemimpin PAS dan siapa pengikut PAS. Semua mereka ini yang saya nampak dan lihat hanyalah penyokong yang taksub dan fanatik. Mereka ini tidak jauh bezanya dengan mana-mana Melayu yang beragama Islam dari segi amal ibadat dan budi bahasa. Serban besar dan jubah hijau sebagai penguat diri. Dan mereka berjalan seperti seorang yang tiada dosa dengan manusia dan tuhan.

Tetapi pengikut PAS merasai diri mereka lebih bernasib baik kerana telah menyokong parti Islam dan dengan itu Syurga telah terjamin untuk mereka. Sekali imbas kita dapat melihat masih berkeliaran penyokong-penyokong ini yang hanya bersorak dan bertakbir dalam keadaaan lupa diri kerana parti politik mereka tetapi dari segi amal ibadat dan suruhan agama amat kurang dan lemah jauh sekali. Ingin saya hormati para pengikut PAS kerana pada anggapan saya mereka ini berpekerti tinggi sebagai seorang Islam dan berbangsa Melayu, namun semua harapan itu hancur dan hanya sia-sia.

Saya amat menghormati Guru Agama sama juga kepada Nik Aziz kerana ilmu agama yang beliau miliki. Tetapi semua itu telah hilang apabila beliau merosakkan dengan melangkah dalam berebut kuasa dalam politik yang telah diketahui banyak tipu daya dan muslihat. Siapa yang tidak mahu kepada kuasa ?, begitu juga kepada Nik Aziz.

Penyokong-penyokongnya telah diletakkan dalam situasi serba salah walaupun mereka sendiri nampak kepincangan itu. Untuk tidak menyokong PAS takut-takut nanti tidak akan masuk syurga kerana Nik Aziz telah membuat fatwa bahawa hanya parti PAS sebagai tiket masuk syurga ( kalau tak silap sayalah ). Nik Aziz telah menanam rasa takut kepada semua Melayu Islam Kelantan yang taksub ini. Dan mereka ini bersandarkan lesen besar yang dijanjikan oleh Nik Aziz merasa akan terlepas dan selamat hukuman dunia dan akhirat untuk berbuat sesuatu yang tidak terlintas akan dilakukan oleh orang Melayu lebih-lebih lagi seorang Islam. Cara bercakap dan maki hamun mereka mengalahkan Yahudi. Tingkah laku mereka sedikitpun tidak menunjukkan mereka itu Islam. Semua ini terjadi kerana taksub dan rasa diri mereka telah dijamin syurga oleh PAS dan neraka telah tidak berhak lagi membakar mereka kelak. Sedarlah.

UMNO atau PAS hanyalah sebuah parti orang Melayu. Parti untuk menjaga kepentingan orang Melayu ditanah tumpah orang Melayu ini. Nabi Muhammad juga tidak pernah meletakkan hanya PAS yang mesti dipilih dan disokong memerintah sesebuah negara. Tidak pernah saya terjumpa pernayataan sebegitu. Namun Nik Aziz dengan sewenang-wenangnya membuat satu fatwa untuk kepentingan dirinya sendiri dan membutakan mata pengikut-pengikutnya tak ubah dengan perangai seorang yang dikenali satu masa iaitu AYAH PIN.

Nik Aziz telah riak dan penuh takabur menepuk dada bahawa beliaulah yang berhak memberi fatwa. Hubungan dan perkongsian dengan bangsa-bangsa lain dan agama lain selain Islam baginya mengikut fatwanya adalah dibenarkan kerana atas kemahuan nafsunya. Tetapi perkongsian yang dibuat parti lain baginya permaufakat kafir.

Inilah yang telah memecah belah umat Islam negara ini yang hampir keselurahan orang Melayu adalah Islam. Yang kurang akal dan ilmu akan mudah terpedaya dengan skim mudah masuk syurga yang ditawarkan oleh ulama' seperti Nik Aziz. Walaupun tanpa amal ibadat mereka telah dijanjikan Syurga.

Ini hanyalah dari pandangan saya yang telah banyak melihat perangai manusia. Semua akan mengambil peluang dalam kedudukan masing-masing. Sekiranya ALLAH berkehendakkan balasan dari perbuatan hambanya dibalas di dunia ini maka dapatlah kita sama-sama tunggu dan lihat siapakah ulama' yang sebenarnya dan siapakah ulama' dunia semata-semata. Kerana Islam adalah urusan ALLAH. Manusia hanya hamba yang wajib patuh kepadaNYA.

Islam Untuk Semua Makhluk Tuhan

Jangan layan Nik Aziz

KUALA LUMPUR 28 Julai - ''Lupakan saja Nik Aziz, perpaduan dalam Pas pun dia tak boleh nak selesai inikan pula nak tengok dia jayakan agenda perpaduan ummah.''

Itu antara reaksi beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengulas tindakan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bukan sahaja berkeras menolak kerjasama dengan UMNO malah mengeluarkan kata-kata 'pergi jahanamlah UMNO'.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, Nik Aziz memang patut dilupakan bukan sahaja kerana beliau gagal membawa perpaduan dalam partinya sendiri tetapi juga tidak pernah ikhlas menjayakan perpaduan ummah.

Menurutnya, apa yang jelas, niat Menteri Besar Kelantan itu hanya satu iaitu untuk menghancurkan UMNO, sama dengan rakan politiknya yang bukan Islam iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

''Bukan apa, orang Pas sendiri tertanya-tanya siapa ketua mereka, Nik Aziz ke Abdul Hadi Awang (Datuk Seri). Pas sendiri jadi tak bersatu padu sebab ada yang lebih daripada Presiden. Jadi biar Nik Aziz dengan urusan DAP dan PKR.

''Tanpa Pas pun kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini mampu wujudkan perpaduan. Tak payah UMNO buang masa fikir perpaduan Melayu dengan Nik Aziz, yang penting rakyat tahu bukan UMNO tolak perpaduan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Aziz semalam menegaskan 'salam' kerjasama yang dihulurkan sebelum ini adalah atas hubungan antara Kerajaan Pusat dan negeri yang tiada kaitan sama sekali dengan kesediaan membentuk kerjasama antara Pas dan UMNO.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, sikap terbaru Nik Aziz itu amat dikesali apabila Mursyidul Am Pas itu lebih mementingkan kehendak politik berbanding perpaduan Islam dan Melayu yang mendesak kini.

Menurutnya, Nik Aziz sepatutnya sedar apakah bekerjasama dengan DAP dan PKR bagi menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu menjamin pemerintahan negara ini terus ditunjangi kepimpinan Islam dan Melayu.

''Jadi, tak payah tumpu perhatian kepada Nik Aziz, minat dia bukan perpaduan Islam dan Melayu sebaliknya untuk menggugurkan kuasa UMNO dan BN, sama dengan niat DAP dan PKR nak hancurkan parti Melayu.

''Nik Aziz dah menyeleweng, jadi macam tak berguna lagi. Orang sudah berjanji dengan rakan politiknya yang bukan Islam untuk hancurkan UMNO, jadi kini dia pun utamakanlah tuntutan politik daripada tuntutan agama.

Sehubungan itu katanya, pada peringkat ini UMNO dan BN perlu memperkuatkan diri sendiri dan menyakinkan rakyat tentang penyelewengan kerajaan pembangkang di beberapa negeri.

Setiausaha Majlis Muafakat Melayu (MMM), Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan pula tetap berharap agenda perpaduan Melayu dapat diteruskan oleh UMNO dan Pas tanpa perlu memberi reaksi terhadap tindak tanduk Nik Aziz.

Katanya, usaha ini penting kerana cabaran yang sedang menanti orang Melayu semakin dahsyat sehingga kini sudah seakan wujud gerakan yang memburukkan jabatan-jabatan kerajaan yang diterajui pegawai Melayu.

''Kini tengok pegawai Melayu dalam agensi penguat kuasa dikecam hebat seakan ia sengaja dirancang bagi menimbulkan persepsi di kalangan rakyat bahawa pegawai Melayu tidak layak menjadi peneraju.

''Mempertahankan Melayu juga dianggap rasis malah dituduh kita aparteid pula. Jadi kalau UMNO dan Pas tak bersatu, ke mana orang Melayu nak cari jawapan bagi mempertahankan maruah diri,'' ujarnya.

Sebab itu jelasnya, hubungan antara UMNO dan Pas mesti wujud dan jalan bagi menemukan dua parti ini di meja perbincangan tetap perlu ahli akar umbi diharap dapat memahami keperluan itu walaupun Nik Aziz menolaknya dengan keras.

Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, walaupun Nik Aziz berkeras menolak kerjasama UMNO dan Pas, namun kesediaannya untuk mengukuhkan hubungan antara kerajaan Pusat dan Kerajaan negeri pimpinannya merupakan petanda baik.

''Biar Nik Aziz kata dia tolak UMNO dengan Pas tetapi pada masa sama, dia sedia bekerjasama dengan kerajaan Pusat dan ini menunjukkan dia sedia duduk semeja dengan pemimpin UMNO yang menerajui Pusat.

''Soal membantu Kelantan kita sokong kerana negeri itu hampir 100 peratus penduduknya Melayu. Dalam hal ini, pemimpin Pas lain tak semestinya sependapat dengan Nik Aziz, jadi saya fikir Pas kena adakan muktamar khas bincangkan hal ini, baru ahli di bawah jelas,'' katanya.